Rabi'ah tidak mencintai dengan satu cinta, tetapi dia mencintai dengan dua cinta...Cintanya itu dinukilkan di atas bait-bait syair di bawah :

Cintaku kepadamu cinta berganda
Cinta semata-mata cinta
Dan cinta kerana Engkau patut dicintai


Cinta yang pertama membuat aku tenggelam
Dalam menyebut nama-Mu, lupa yang selain-Mu
Cinta kedua kerana kerelaan-Mu menyingkap
Hijab hingga aku dapat melihat-Mu

Aku tidak menyanjung-Mu kerana ini dan itu
Sanjungan itu lahir daripada kedua-dua cintaku.

Para ulama dan pemikir Islam telah mengkaji dan menganalisis yang terkandung di dalam syair di atas, meskipun maksud yang terungkap di situ sudah jelas dan nyata. Rabi'ah tahu bahawa cinta pada tahap pertama ditandai dengan banyak menyebut nama Allah serta mengingatnya. Dan tahap yang kedua adalah mengadakan hubungan yang erat dengan-Nya, kemudian dapat menyaksikan kecantikan yang di cintai (kekasih).

Cinta itu timbul pada pertama kalinya daripada yang lahir, iaitu ibadat anggota tubuh. kemudian, disusuli pula dengan pembersihan hati dan jiwa daripada segala penyakit dan kekotoran. Dengan perkataan lain, cinta itu dimulai dengan anggota, yakni mempergunakannya untuk mentaati Allah. Lalu, secara beransur sedikit demi sedikit membentuk batin sedemikian rupa, sehingga terbiasa berhadapan dan menghabiskan waktunya di jalan Allah.

0 comments:

Post a Comment